Tetamu yang sentiasa memeriahkan laman saya..TQ

Monday, June 26, 2017

Ja cantik berbaju baru.


Kami berenam.
6
6 rakyat negeri saya yg bergelar kaum hawa.
Memang 6.
Cuba bilang sekali lagi.
1, 2, 3, 4, 5 dan 6.
Betul lah tu.
Sah 6.
Sewaktu kami bergambar di sini,
Kami bawa dia bersama di dalam hati kami.
Dia tetap ada bersama.
Kukuh dalam dada
Kekal dalam minda.
Kami senyum dan kami tau sekiranya dia boleh senyum,
dia pasti turut tersenyum.
Ja, Selamat hari raya.
Ja, ramai sanak saudara Ja datang jengok Ja sempena Aidilfitri ni.
Ja mesti happy sangat,
Semua orang mendoakan yg terbaik buat Ja.
Semua orang sayang Ja.
Ja tau tak yang Ja ni bertuah kerana ramai yg ambik peduli, ramai yang sayang dan ramai yg tidak melupakan Ja.
Diam la Ja, tenang la anak.
Mummy cuba untuk tidak berduka.
Tak elok menumpahkan air mata di hari bahagia macam ni.
Mummy tak menangis pun, mummy happy kerana Tuhan masih meminjamkan Ja untuk mummy sayangi.
Salam jari mummy ni Ja, tak perlu mintak maaf zahir batin kerana
sudah lama mummy maafkan Ja kalau pun ada dosa Ja dengan mummy.
Sejuk jari Ja pagi ni.

Ku genggam erat jari2 dia.
Ku telan tangisan.
Ja, Selamat hari raya sayang.


Friday, June 16, 2017

Nak masak apa petang ni...

Kalau tak nak masak beli aja lah.
Kalau dah beli tu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.
Mahal kalau sedap tak apa jugak.
Tak sedap.
Tu baru satu kemungkinan.
Kalau pun sedap, soalan seterusnya bersih atau tidak?
Entah2 cepat basi.
Entah2 tak cukup masak
Entah2 esuk perut meragam.
Tapi saya tengok berduyun duyn orang hurung bazaar Ramadhan.
Kata mahal tapi mampu pulak beli segala mak nenek.
Kata tak bersih tapi habis jugak yg ditawarkan.
Sebenarnya prinsip saya macam ni.
Kalau nak masak , masak.
Kalau nak beli, beli.
Cuma kena beringat.
Beli tempat yg kita boleh tau kualiti nya.
Kebersihan nya dan padan dgn harga.
Selalu nya saya x berani cuba beli dari penjual yg baru.
Lebih selesa ke warung yg saya dah biasa.
Kecuali ada org rekomen, baru berani nak beli.
Ni nak cerita...
Kat Kale cepo ni ada orang jual ayam bakar.
Macam2 gaya..
Berpusing ada, dalam pasu ada, dalam tin pun ada.
Saya pilih yg bakar dalam tin.
Sebabnya....
1.Sedap. Betulll, cuba lah kalau tak caya.Bau serai dan daun limau purut semerbak, pedas dan moist.
2. Harga berpatutan, rm26 jer sekor.
3. Si penjual tu peramah.
4. Mesra pelanggan..kalau perlu, dia siap hantar ke rumah lagi.
5.Dekat dgn rumah..
6. Kehabisan alasan dah...
Ok, selamat berbuka puasa ya.

Saturday, June 10, 2017

Budak dua ni..

Budak berdua ni,
Bukan selalu ada di sini.
Berkala saja datang nya.
Bila mereka ada,
Semua nya berubah.
Kucing pun dapat tau kehadiran mereka.
(Kucing2 menyorok jauh jauh...elak pertembungan yg mungkin berbahaya bagi perahu2 kecil)
Rabbit suka..kenyang nya berganda.
Habisla sayur dalam peti ais, tau2 nak goreng carrot, kubis atau sawi semua dah x ada.
Burung Suncore bising melayan jari2 kecik yg duk kuis kaki, gosok kepala dan suap makanan.
Burung hantu lenguh kepala berpusing pusing mengikuti pergerakan budak dua ni.
Tu baru haiwan peliharaan, belum lagi rakyat jelata.
Masa budak berdua ni ada,
Jangan terkejut kalau tengok pak sedara yg dah besar giant tertiarap sambung lego yg pecah.
Mak sedara jadi tukang suap nasi.Tukang layan.
Mak sedara suap semulut ke mulut anak sedara, dua mulut ke mulut sendiri.
Siapa urus waktu mandi? Mak sedara sorang lagi. Mujur lah ada pembantu.
Atok tidak tidor petang kalau budak dua ni ada.
Atok duduk tgok cerita boboboi, Upin ipin dan channel astro yg bermula dgn nombor 6.
Atuk layan soalan mereka macam lah Atuk ni encyclopedia, serba tau.
Nenek hanya jadi kaunter aduan.
Adu lah macam2..nenek layan.
Sekejap sekejap nenek masuk dapur.
Perut budak tu tak ada masa kosong, penuh berisi.
Perut orang lain pun tumpang buncit juga.
Belum tengahari nurse yg jaga mummy mereka dah tutup pintu, dah pasang aircond.
Awal no entry tergantung di pintu.
Hehehehe....tau kenapa?
Selagi pintu terbukak selagi tu lah mereka masuk ganggu nurse buat kerja.
Seribu satu soalan memenuhkan telinga nurse, kesian nurse.
Ok lah budak2 nanti mummy kamu dah siap di urus baru kamu boleh masuk semula k.
Atau pun tunggu shift nenek jaga mummy kamu, boleh saja masuk, takapa tunggu petang saja.
Hanya seorang saja yg tidak berubah samaada budak berdua ni ada atau pun tak ada.
Mummy kamu.
Mummy kamu diam bisu begitu juga.
Tapi kita tidak tau, entah2 dia dapat merasakan kehadiran putera berdua.
Tebal kasih bonda terpenjara dalam dada
Pasti begitu.
Sayang ibunda mengalir dalam darah kamu berdua.
Sampai bila bila, ingat tu.
Imaad dan Iyaad...
Setiap kali kamu datang bermalam di sini,
Kamu punggah mainan kamu dan bermain di hujung katil sakit itu.
Kamu nak makan minum di sisi mummy kamu
Malah kamu acap terlelap berkongsi ruang di bilik itu.
Biarpun kamu tidak merasai lembut halus belaian ibu,
Cukup lah kamu bernafas dalam udara yg sama di sini
Cukup lah kamu terhidu harum bedak di badan ibu
Cukup lah kamu dapat menatap wajah dia yg pernah berkongsi nyawa dgn kamu.
Cukup bersyukur kerana kamu masih ada dia hari ni.
Esuk usah di fikir, kita serah pada Tuhan.
Kita bahagia lah seadanya selagi dia masih ada.
Budak berdua ni
Bila dia ada di sini
Segalanya berubah.
Bila daddy bawa mereka pulang.
Rumah ini sepi dan seperti kurang oxygen.
Ternanti nanti bilalah loceng pagar akan berbunyi.
Akan terdengarlah suara...
"Atokkkkk.....mana atok?"
Dan kucing2 pun bertempiaran menyelamatkan diri.



Friday, June 9, 2017

Ja, kita dah di pertengahan Ramadhan.

Kalau puasa ibarat panjat bukit, dah sampai kemuncak dah.
Dah separuh jalan kita lalui.
Adakah Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sudah2?
Adakah ini Ramadhan terakhir kita nanti?
Laju sungguh masa.
Malam tadi saya dah melewati surah AlKahfi.
Harap2 sempat khatam seperti tahun2 sudah.
Biasalah, akhir Ramadhan nanti akan lebih sibuk.
Selagi belum khatam, nak buat persiapan raya hati tak tenang.
Harap2 25 ramadhan nanti saya di surah terakhir.
InsyaAllah....
Lepas tu baru boleh fokus pasal menu raya, pakaian anak cucu, family gathering dan sbgnya.
Mood raya saya sebenarnya bukan mcm dulu2, sekarang dah suam2 kuku.
Cukuplah anak cucu bergembira beraya sama2.
Bila pandangan saya hinggap di wajah dia, hati saya malap semula.
Dia tak beraya, saya pun rasa tak nak beraya.
Begitu lah sebenarnya dihati saya.
Saya lebih suka Ramadhan sebenarnya.
Tambah2 10 malam terakhir.
Peluang untuk saya doakan yg terbaik buat dia berganda ganda.
Mana tau di malam lailatul kadar nanti, doa saya tidak lagi tiris bertaburan.
Mana tau kali ini doa saya diangkat.
Mana tau....
Ja, mummy baca quran dan berdoa di sisi Ja setiap pagi dan malam.
Tenanglah wahai anak.
Semoga Ja dapat dengar suara mummy.
Semoga Ja dapat ikut bacaan mummy dalam hati.
Tenanglah wahai bidadari syurga yg tertangguh.

Sunday, June 4, 2017

9 hari dah..

Cepat masa berlalu.
Dah 9 Ramadhan hari ni
Dah masak segala mcm lauk dah.
Segala mak nenek kuih muih pun dah di buat.
Amalan?
Biarlah amalan menjadi rahsia.
Tak perlu di warwarkan.
Dosa?
Secara sengaja atau tak sengaja mesti ada.
Kita kan manusia biasa.
Ok, sambung bab 9 Ramadhan.
Baju raya dah beli?
Tak beli pun, pakai mana ada jer.
Sekarang saya x kisah dah pakai baju baru atau tidak.
Cukuplah anak cucu berbaju baru nanti.
Persiapan raya memang belum bermula.
Lambat lagi kot, focus pasal puasa dulu.
Sebenarnya ni N3 pasal nak cakap satu benda jer.
Nak berbangga lah ni..
Tau takkkkkk?????
Bulan Ramadhan ni saya masak hari2.
Sekali pun belum jengok Bazaar Ramadhan.
Sekali pun belum keluar beli ready made food.
Sekali pun belum buat benda2 gitu.
Tahniah Hani!
Esuk belum tentu.
Esuk lain bicara.
Tapi 9 hari ni saya berjaya.
Suke nyerrrrrrr..



Thursday, June 1, 2017

Hantu kena rantai


Saya masih ingat satu ketika dulu.
Waktu tu saya sekolah rendah.
Bulan puasa, kisah solat terawikh.
Dulu, mana ada masjid telipot, yg ada hanya sebuah musolla berdekatan rumah saya.
Di situ lah kami solat terawikh.
Jalan kaki saja sbb memang tak jauh cuma ada kawasan jalan agak gelap kena guna lampu suluh.
Saya ni memang agak nakal masa kecik dulu.
Kalau saya rasa nak balik, saya balik walau terawikh belum habis.
Saya jalan kaki sorang2 dalam kesuraman lampu jalan kampung.
Ayah larang saya mana dengar,' degil jak budok' kata orang.
Nak dijadikan cerita,
Satu malam tu sewaktu saya melenggang balik sorang sorang,
Saya dengar macam ada bunyi sesuatu di heret di belakang saya.
Saya percepatkan langkah.
Takut mula terasa.
Makin lama makin dekat bunyi heretan tu.
Saya tak pandang belakang dah, laju buka langkah pecut.
Oleh kerana lari lintang pukang, selipar saya tercabut.
Mau nya saya pungut selipar tu...tobat takut nak berenti.
Maka saya sampai rumah berkaki ayam, kotor dan sakit2 tapak kaki.
Esuk baru saya pergi ambik selipar yg tergolek di tepi jalan.
Bila saya cerita kat ayah, ayah gelak.
Padan muka saya tak nak dengar orang larang.
Sampai sekarang saya tak tau apa yg mengekori saya.
Hantu kah? Orang saja nak usik saya kah?
Zaman tu mana ada orang culik orang atau apa apakan orang.
Biarlah, tak penting siapa atau hantu mana yg mengekori saya tu.
Tapi dia berjaya buat saya tunggu sampai habis terawikh semenjak kejadian tu.
Terima kasih lah wahai hantu.
Ada ke hantu di bulan puasa?
Bukan dah kena rantai ?
Yang terawikh separuh jalan tu lebih hantu dari hantu kot.
Hadoii...tua2 ni tgok budak2 nakal dalam hati berkata...
Been there, done that.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...