Tetamu yang sentiasa memeriahkan laman saya..TQ

Friday, December 31, 2010

Senang nye dalam hati...

Katanya Ahad ni di umumkan cuti.
Alahhh..kenapa cuti?
Dah tak sabar nak mulakan tugas di tahun baru.
Berjela dah senarai 'perlu buat'.
Yer lah, semangat tengah berkobar kobar lah katakan..
Hmmm....Yer ke ni????
Tipu, Acah aje lah.
Yes Yes Yes!
Seronok apa?
Sapa tak suka cuti?
Walau dah lama bercuti,
tambah satu hari lagi cukup menggembirakan.
Terima Kasih lah wahai kerajaan Malaysia.
Bab cuti ni sikit saya tak marah.
Yahooooooooo..!

Apa beza tahun baru dan lama?

Serupa.
Tak ada beza apa pun.
Cuma usia yang bertambah.
Agak2 keimanan bertambah jugak ke?InsyaAllah.
Harap2 kesihatan pun masih boleh bertahan.
Kawan2 lama masih bersama jauh dan dekat.
Kawan baru insyaAllah,,sentiasa di alu alukan
Ahli keluarga masih bernafas dalam syukur.
Cari makan pun harap2 masih di tempat yang sama.
Kediaman masih di situ.
Alhamdullilah, masih berteduh di bawah bumbung itu.
Serupa aje kan? tak ada apa apa perbezaan.
Selamat Tahun Baru untuk semua.
Teruskan lah dengan kehidupan kita selagi bernyawa,
berusaha untuk lebih baik dari semalam,
berdoa moga esok lebih baik dari hari ini.
Suka atau duka, senang atau payah,
Kita seharusnya redha.

Thursday, December 30, 2010

Simpan sedih, tayangkan senyuman...

Kadang kadang ada benda2 yang memancing ingatan kita pada sesuatu yang telah menjadi kenangan.
Lagu dan photo2 lama contohnya begitu kerap mengingatkan kita pada masa silam.
Mengundang rindu pada kawan2 lama, pada darah daging yang sudah meninggalkan kita atau pun rindu pada zaman kanak kanak kita.
Terpandang buku 'La Tahzan' yang bermaksud jangan bersedih.
Entah kenapa saya jadi teramat sedih.

Wednesday, December 29, 2010

Nobody but you!

Bila masa pulak saya kahwin dengan orang Korea ni?
Tiba2 kat rumah saya ni ada budak Korea dua orang.
Tak pernah ingat ada melahirkan bayi Korea.
Anak2 gadis saya ni rupanya nak bersalin kulit.
Perasan yang mereka tu orang Korea kut
Walau awak tu ada iras orang korea, tapi awak tu Malaysian k.
Jangan nak ngada ngada, terikut2 style orang Korea
Tak tau pulak tiba tiba dah tukar nama.
Dasyat....Dasyat...
Tadi saya masuk bilik dua anak gadis saya.
Terkejut saya..Ini bilik siapa nih?
Makluk dari Korea memenuhi setiap ruang.
Di Skrin desktop tu tersenyum budak korea mana tah.
Di almari, di cermin, di fail dan segenap tempat ada Yuri, Hara, Narsya, juyeon, Sori, Nichkhun dan entah apa apa lagi.
Lagu hits Kumpulan dari Korea yg tak saya fahami berkumandang.
Channel 391 Astro menjadi pilihan.
Aduhhhhhhhh....Fening, fening.
Ok, sebelum bukak sekolah ni make sure kemas balik bilik ni.
Jangan ada satu makhluk Korea pun kat sini.
Poster dan apa2 yg berkaitan tak di alu alukan.
Kimci ? Kimci boleh di runding.
Kembalilah menjadi Anis dan Iffah.
Korea korea tak main k.
"Celik mata ngadap laptop."
Itu bebel saya pada anak2..
Saya pun cmtu..
Cuma saya ni sambil buat keje lain sambil singgah2.
Budak budak ni kalau dah melekat depan ni,
macam di gam gam..
Tambah2 cuti sekolah.
Bercuti dengan internet lah.
Semua ada, kata mereka.
Tak payah bayar tambang boleh melancung.
Tak payah bayar tiket boleh menonton.
Tak sunyi,sini boleh chatting, boleh ngumpat.
Tak perlu ke supermarket,Online shopping ada.

"Mummy what's for lunch?"
Tak payahhhhhhh,
Tgok kat internet dan kenyang begitu saja k.
Rupa rupanya kalau saya tak masak, ada juga yang lapar yer.

Tuesday, December 28, 2010

Betul tu Sheila..Macam tu lah yang saya rasa.

Setiap hari ku memohon
Agar kau sentiasa memberikan ku ketenangan
Dalam hati kekuatan
Menempuhi segala dugaan yang mencabar ini
Pasti
Punya ertinya
Kau berikan ku harapan
Menjawap segala persoalan
Hadapi semua dalam tenang
Dengan merasa kesyukuran
Ku doa kau selalu mengawasi gerak geri ku
Berkatilah.
Perlu rahmat dari mu
Oh Tuhan terangkan lah hati dalam sanubari ku
Untuk menempuh hidup penuh cabaran ini
Oh Tuhan ku berserah segalanya kepada Mu
Agar jiwa ku tenang dengan bimbingan dari mu
Adakala ku merasa
Hidup ini seperti kaca
Jikalau tidak bersabar
Hancur berderai lah akhirnya
Tabahkan lah hati ku
Melalui semua itu
Oh, kuatkanlah.
Cekalkn lah diri ku..



Monday, December 27, 2010

Ambik tahun depan boleh?


Tadi saya pergi tempah Rubber Stamp untuk anak2 saya.
rm20 untuk satu,dah tempah dua, rm40 lah jadi nya.
Apa mahal sangat tauke...
Ringan mulut lak nak komplen.
"Mau angkat sikalang,itu pasai lah manyak mahal lo"
Laa..kalau saya ambik petang harga lain ka?
"Of course la cikgu, kalau ambik ini ptg manyak murah, rm12 saja."
Kalau ambik esuk?
"Kalau esuk mau angkat, kasi cincai rm8 saja..esuk ptg ok?"
Jap,jap...
Tak nak lah tauke....
Saya ambik minggu depan saja lah,
mana tau kut dpt dgn harga 40 sen jer...
Hehehehee...
Saya tgok tauke Cina tu garu kepala.
Cepat2 saya ke kereta,
mana tau kot dibalingnya pencetak tu,
mau nya tak benjol.
Sorry tauke, saya acah aje lah.

Saya sahaja.


Hanya orang yang berada di tempat saya (In my shoes) saja lah tahu apa yang saya rasa.
Tapi mana ada orang yang boleh bernafas dalam diri saya.
Maka saya sorang saja lah yang tau.
Maka saya sorang saja lah yang rasa.
Mau tidak mau saya lah pewaris tanggunggan suka duka saya sendiri.
Kadang kadang rasa nak berkongsi jugak.
Kalau bab suka tu memang lah ramai yang menawarkan diri.
Tapi siapalah yang nak berkongsi duka kan?
Tak apa lah, saya masih gagah hadapi segalanya... InsyaAllah.

Sunday, December 26, 2010

Nilai rm500.

Pergi teller, picit picit dapat rm500.
Bagi anak rm150 untuk buat medical check up.
Isi minyak kereta rm50
Ambik baju sekolah anak kat tailor rm80
Bayar kad kredit rm200.
Adalah rm20 lagi.
Kalau singgah kat pasar tak cukup sebanyak tu.
Duit rm500 tu saya boleh pegang sekejap jer..
Itu lah nilai rm500 sekarang.

Tak Kisah.

Lawa tak?
Hanya 5 hinggit untuk semua.
Murah giler.
Tapi tak semua orang dapat beli benda ni.
Orang2 tertentu saja.
Orang mcm saya saja.
Saya ni tak kisah, kedai bundle ke, second hand ke semua saya redah.
Ini saya dapat kat kedai barang terpakai..
Sanggup singgah?
Ada kekawan saya menjebihkan bibir bila saya ajak ke kedai bundle.
Tak ada class lah kan.
Segan, takut orang kenal kereta kita yang parking depan kedai begitu.
Saya tak kisah..Duit saya suka hati saya lah nak masuk kedai class mana pun.
Tak kan hilang bisa ular menyusur akar.
Lagi pun saya tau saya tak ada bisa pun.
Saya susur segala tempat..Hobby.
Ada jugak lah kawan2 yang sekepala.
Tak kisah berdebu berabuk menggali dalam timbunan 'junk'.
Saya kalau ke kedai bundle pakai simple2 jer.
Pernah sekali tu, ada sepasang kasut Clark hampir sama dgn yang kat kaki saya.
Ada Makcik tanya, Kasut saya ni beli kat sini jugak ke? harga berapa?
Kalau saya cakap harga kasut saya yang di beli di London tu mesti dia tak caya.
Apa apa lah makcik...
Esuk nak ke sana lagi..
Sapa nak ikut...Jommmmmmm!

Saturday, December 25, 2010

Marah dan ubat marah

Marah
Panas hati betul tadi.
Si Mamat budak parking kat Rantau Panjang ni mmg sah 'tak cerdik'
Ada ke di biarkan kereta lain parking belakang kereta saya.
Kalau tepi jalan tu boleh lah saya kata tak ada orang yang kawal.
Ini parking berbayar.
Dahtu salahkan kereta saya, katanya kereta panjang sangat(Estima)
Dah tau kereta saya panjang jangan lah bagi org lain parking kat belakang, bagi lah ruang.
Memang kerja awak menyelia kawasan tu.
Bukan kereta saya sorang, tu kereta Gen2 kat belakang tu pun tak leh kuar jugak.
Tgok jer isteri org tu, tercegat dan panas hati mcm saya jugak tu.
Sedap jer suruh kita cuba undur begitu begini.
Hello dik, akak ni bukan lesen kopi 'o' lah..
KAlau adik pandai sgt, adik aje lah kuarkan kereta akak dari tempat parking ni.
Dah dua tiga org tolong pun tak dapat.
LAst2 saya kena tunggu hingga org kat belakang tu dah habis shopping.
Dah bercupak jugak lah bebel saya tadi.
Sepatutnya mintak maaf lah kerana kebodohan dia menyebabkan saya berpanas,buang masa tunggu begitu lama..
Bayar tetap kena bayar dah saya parking..Bukan nya nak discount pun.
Nasib baik saya tak claim duit minyak kereta saya duk tunggu untuk keluar begitu lama tu.
Jadi orang lain harap hati2 kalau parking kat parking berbayar di Rantau Panjang ni.
Tak pasal2 meter mentaliti saya turut menjunam bila marah menguasai diri.
Astaqfirullahhh..
Nasib baik hubby saya masih boleh bersabar
( Tu pun sbb stering bukan di tangan dia agaknya)
Ayat power dari hubby saya..
"Don't expect him to hv a brain like an astronout.."
Hmm..u r right, he was just trying to make ends meet.
Saya berdoa semoga 'ketidak cerdikkan' dia tu tidak menyusahkan orang lain lagi.

Ubat Marah
Goreng pisang best.
SEdap, ranggup,cukup rasa.
Goreng Pisang berbijan.
Kena cuba kalau ke Rantau Panjang.
Tak cuba rugi.
Kedainya terletak di tepi jalan untuk balik ke KB.
Nama jalan tu tak tau pulak.
Berdekatan kedai makan Thai-Malay yang masyhur tu.
Tanya org tempatan mesti tau punya.

Petua dari saya.

Petua untuk kurus/nampak kurus.
-Bergambar dgn orang yang lebih gemuk-


Itu pasal lah semua orang nak bergambar dgn saya hari tu
Kakak saya nak bergambar dgn saya,
Sedara2 nak bergambar dgn saya,
Mak saya pun nak bergambar dgn saya jugak.
Padan lah ramai yang nak bergambar dengan saya, supaya nampak lebih kurus yer...
Taktik baru ke nih?
Huhuhuhuhuuu....Tak per lah, sempat gak rasa macam celebriti sekejap.

Friday, December 24, 2010

Merapu malam Sabtu.

"Pukul 3 paaaagiii....."
Belum lagi lah, baru pukul 10 mlm.
Berhantu betul lah lagu lagu lama ni.
Tadi dengar lagu P Ramlee berkumandang kat Astro.
Macam ada mp3 dlm otak saya ni, lagu tu masih bermain berkali2.
" Kalau lah kaca menjadi intan..."
Tau lah keling jual botol akan kaya raya.
Tapi yang saya nak ulas ni mengenai ayat yang bermula dengan 'Kalau'
Kita suka guna ayat bermula dengan kalau.
Kalau itu, kalau ini.
'Kalau' ni bersifat negatif sebenarnya.
Kalau melambangkan kesal.
'Kalau' seakan menunjukkan kita tidak berpuas hati dengan kenyatan.
'Kalau' semacam kita menyesal dengan tindakan kita.
Terlajak perahu saja boleh di undur, itu pun kalau perahu kecik.
Silap undur, rempuh tebing, hancus.
Apa yang dah berlaku jangan lah kita duk berkalau2 lagi.
Terima saja lah ...dan cuba untuk baiki kekurangan.
Tak gitu?

"Kalau lah bulan jatuh ke riba..."
Pengsan lah pungguk nanti.

Masa menentukan segalanya

Ini bukan rumah nenek saya.
Ini istana nenek saya.
Mungkin bagi orang lain ini hanya lah sebuah dari beribu buah rumah lama yang tak ada nilai sejarah pun.
Tapi bagi nenek saya ini lah syurga..
Di sini lah dunia dia.
Sekarang nenek dah uzur.
Mak Long yang jaga nenek pun dah uzur jugak.
Kebetulan mak yang lebih sihat dari mak long bawa nenek balik ke rumah mak.
Selalunya nenek keberatan nak tinggalkan rumah dia ni.
KAlau datang tinggal dgn mak pun sekejap saja.
Bila dia teringatkan rumah dia, jam tu jugak dia nak balik.
Kadang2 orang tua boleh jadi macam budak kecik.
Dah tak boleh di pujuk2 lagi.
Tapi kali ni nenek dah tersangat uzur.
Kesian jugak tengok Mak Long yang terketar ketar(Parkinson) nak urus diri sendiri pun tak larat, ni kan nak jaga nenek.
Bukan mak saya tak nak jaga nenek,dah berbuih mulut mak ajak nenek tinggal dgn dia,
Uncle2 saya pun memang menerima kehadiran mak di rumah mereka bila2 masa saja.
tapi nenek berkeras tak nak tinggalkan rumah lama dia tu.
Yer lah, kita masih belum sampai ke era tu sedap la kita ngata.
Kita nanti macam tu jugak.
Pagi ni saya duduk di ruang keluarga di rumah saya.
Bertanya pada diri sendiri,
kalaulah nanti saya dah tua,
anak2 jemput tinggal bersama mereka,
nak ke saya?
Sanggup ke saya?
Mungkin payah juga nak saya usung segala kenangan ke rumah anak2
Mungkin sarat sangat himpunan sejarah yang saya kumpul di sini.
Dinding ini Saksi suka duka saya dan menadah setiap titik air mata saya.
Gelak tawa saya telah saya bingkaikan di setiap ruang.
Bumbung ini lah yang memayungi keluarga saya dari panas dan hujan.
Mampu kah saya berpaling ke arah lain..
Kecuali lah ajal yang menjemput saya.
Entah lah, nenek saya yang lebih tau bagaimana rasanya..
Kan nek???

Wednesday, December 22, 2010

Ku susun jari sepuluh


Alhamdullilah, segalanya berjalan lancar.
Majlis dah selesai.
Menantu dah pulang semula ke tempat kerja.
Sedara dah kembali ke rumah masing2
Saya seperti biasa melaksanakan rutin harian.
Penat. Letih. Seronok.Happy.Puas.Syukur.
Tapi orang lain rasa mcm ni jugak ke?
Adakah saya abaikan apa2 di majlis hari tu?
Ada tak tamu saya yang tak sempat saya layan?
Ada tak yang tak dapat buah tangan?
Ada tak hati yang terkilan?
Ada tak yang rasa tidak di beri perhatian?
Maafkan lah saya..
Kalau boleh satu perkara pun saya tak nak terlepas pandang.
Oleh kerana saya ni manusia biasa, saya akui itu adalah kesilapan saya.
Maka maafkanlah kekilafan saya dan ahli keluarga saya,
seandainya ada cacat cela di majlis itu..
Harap2 semua yang hadir jangan serik yer,
semoga datang lagi untuk memeriahkan majlis saya di lain kali.
Kehadiran kalian lah yang menjadikan majlis saya ceria.
Terima kasih daun keladi..

Monday, December 20, 2010

Mummy dapat menantu perempuan...

Semua dah bersedia di dewan untuk sambut kedatangan ahli baru.











Dah sampai dah..











Sekarang Anis dah ada kakak ipar.

Thursday, December 16, 2010

Macam ni lah saya hari ni...

Riben,manik, gum,bunga,renda,kotak dan bakul..
BerSepah2..
Rumah dah macam kapal karam
Nak tidor pun tak senang
Potong ni
Sambung tu,
Ikat ni,
lekat tu,
Bungkus ni,
Hias tu,
Sekejap bersandar,
Sekejap tegak.
Sekejap berlunjur,
Sekejap bersila.
Keluar masuk kedai,
Masih ada yang belum di beli.
Tempah itu ini..
Mana boleh buat Sendiri, buat..
Mana perlukan bantuan, tunggu buat esuk2
(Esuk ramai yang mula pulang..)
Hset berdering2..
SmS bertali arus.
Yang menyinggah, tukang nyibuk pun ada
Meramaikan dan memeriahkan persiapan.
Payah dan penat jugak yer,
Ingat senang ke.....

Wednesday, December 15, 2010

You made me Mad.......Real Mad!

Kalau saya suratkan apa yang tersirat di hati saya di waktu ini, tentu ada hati yang akan terasa..Jadi demi menjaga hati orang lain, biarlh saya pendam saja..
Kalau ikutkan hati saya tanpa memikirkan orang lain, saya rasa bukn setakat saya luahkan saja, mungkin saya boleh nangis guling2, hentak2 kaki lagi...
Apa tidak nya, dah lama saya cuba jinakkan kesal saya, marah saya, rajuk saya..Memang saya berkecil hati..memang!
Biarlah, saya tidak ingin rosakkan mood saya dan keluarga saya yang sedang mengira hari untuk menyambut ahli baru dalam keluarga saya.Bila tengok betapa cerianya semua ahli keluarga saya, sedikit sebanyak saya turut terhibur. Saya ketepikan dulu soal hati saya, bukan tak biasa terluka pun, forget it k! Lagi pun bukan boleh ikutkan sangat desakan hati ni, tak pasal2 jadi tak waras yang sementara.
Ok, ok..Think straight, use ur brain..Itu yang terbaik untuk semua.Yang terbaik untuk saya adalah BERSABAR.
Get back to work..Simpan dulu tangisan.Senyummmmmmmmmmm.

Sunday, December 12, 2010

Sleeping beauty


Do u know that I slept the whole day today?
I reached home at 3am this morning after having a very tiring day and a sleepless night in Alor Setar.
My head was pounding and I felt like the veins in my eyes were about to rapture.
Yes I was so tired, exhausted, drained and so sleepy.
Guess what...
I slept the whole day.
The whole Sunday...waking only for solat and nature calls.
Do people really do that?
Yes, I did.
Believed it or not!

Alhamdullilah.



Tamatlah zaman bujang Along.Mummy doakan segala kebahagiaan untuk Along dan Fara..

Thursday, December 9, 2010

Melangkah ke alam perkahwinan.

Semua persiapan dah beres. tip top.
Barang yang perlu di bawa dah siap masuk kotak.
Pakaian dah siap masuk beg dah.
Bekal makanan semestinya tidak boleh tidak.
Semua yang terlibat dah di beri penerangan mengenai perjalanan majlis tu nanti.
Sedara2 semuanya teruja, maklum lah dah lama kami menanti saat ini.
Perancangan nya setakat ini masih licin, tak de apa2 masaalah.
Esuk, lepas asar InsyaAllah kami akan bertolak.
Sebuah bus dan 6 buah kereta.
Dengan satu tujuan.
Ke Kedah untuk majlis perkahwinan Along.
Demi Along ke hujung dunia pun kami pergi.
Nenek Along lah yg paling happy, dah lama tunggu cucu naik pelamin.
Saya maknya biasa lah, perasaan bercampur aduk.
Sentiasa mendoakan kebahagiaan anak2.
Tumpang bahagia.
Harap2 Tuhan permudahkan urusan kami nanti.
( Pakat2 lah doakan semoga cuaca baik2 saja esuk...)

♦- I hope... - A letter from Mom and Dad }}


Sanggup tak....?
Boleh tak...?
Mampu tak...?
Kita menuju ke arah tu..Semakin hari semakin dekat...
Kita berserah pada Allah, macam mana nasib kita jika di panjangkan usia nanti.
Kalau di beri pilihan, saya tidak mau begitu, tidak mau menyusahkan orang lain,
Cukuplah usia yang mana ada...
Biarlah kita berundur sebelum kita menjadi beban.
Tapi Tuhan tahu yang terbaik untuk saya
Doa saya hanya lah..
"Tuhan, panjangkan lah umur saya jika itu yang terbaik untuk saya tetapi jika mati itu yg terbaik untuk saya maka saya redha..."

Wednesday, December 8, 2010

Risau nya saya..

Memang saya perasan perubahan pada anak saya ni.
Kawan2 dia pun perasan.
Cikgu2, sanak sedara, adik beradik semua perasan.
Kebelakangan ini Anis ada masaalah dengan mata dia.
'Lazy eyes' kata doktor yang merawat dia pagi tadi.
Puncanya tak pasti.
tapi kemungkinan besar kerana mata kanan dia ada masaalah penglihatan.
Jadi dia bergantung pada mata kiri untuk melihat.
Dah tak guna tu lama2 jadi malas ( lazy) lah.
Anis marah bila saya cakap dia ada 'lazy eyes'
Bukan anis yang lazy, tapi mata tu yg lazy.
maka bermula lah episod appointment dgn dr pakar.
Ikutkan kesibukan saya sehari dua ni memang lah sibuk teramat sgt.
Tapi demi Anis, pagi tadi saya bawa dia ke HUSM.
Dan bersedialah saya untuk ke appointment2 yg seterusnya.
Nampak gaya tahun depan,
Acap lah saya korbankan cuti rehat untuk kes Anis ni.
Setiap penyakit ada ubat.
Semoga mata Anis kembali seperti sedia kala.
Sebelum itu,begini lah saya,
RISAU.

Nota: Tq atas keramahan Doktor dan jururawat di bilik no 10,Klinik KRK, Husm Kubang Krian tadi.Kalau semua Dr macam tu kan best.

Tuesday, December 7, 2010

Kedudukan saya di mana?


Adakah saya pernah menjadi yng terbaik untuk orang lain?
Soalan bodoh.
Saya sentiasa mencuba tapi saya jauh dari itu.
Dari kecik saya cuba untuk memenangi hati orang tua.
Tapi saya tidak pernah mendapat tempat yzng istimewa di hati mereka.
Saya tau saya adalah seorng anak yang nakal,degil dan sentiasa mencari masaalah.
Mujurlah mereka sabar dengan kerenah saya.
Di alam remaja saya ramai kawan.
Saya kagum dengan kelebihan yang ada pada kawan2 saya.
Saya nak juga ada kelebihan begitu.
Tapi saya adalah saya..'Jack of all trades but master of none'
Kawan kawan ada yang menerima saya seadanya dan saya terpaksa berpuas hati begitu.
Saya hanya tidak yang terbaik buat mereka tapi bukan menjengkelkan.Kira ok tu..
Bila dewasa saya impikan di sayangi seperti Laila Majnun,seperti Mumtaz Mahal..
Saya lupa bahawa cinta sejati itu mahal harganya.
Mungkin saya bukan orang yang bertuah seperti juliet sehingga ada orang sanggup mati untuk dia.
Untuk menjadi begitu saya harus cerminkan diri saya dahulu.
Aduh, Juliet keturunan bangsawan,cantik, terpuji dan saya?
Setelah bergelar isteri saya rasa saya masih tidak sampai ke tahap terbaik, mithali.
Malah amat jauh dari terbaik.
Bukan tak pernah berdoa dan berusaha.
Bukan juga nak menyalahkan sesiapa.
Tapi pengalaman hidup membuktikan yang saya ini serba kekurangan.
Tak apa lah..Saya melatih diri saya untuk redha.
Setelah menjadi ibu saya merasakan anak2 saya adalah yang terbaik buat saya.
Syukur saya melimpah ruah.
Tapi didalam hati saya merasa kesal,
Saya tertanya tanya..
Adakah saya ibu yang terbaik buat mereka?
Bahagiakah mereka menjadi anak saya?
Adakah saya ibu yang membahagiakan?
Sekiranya dapat di jual beli kasih ibu,
Adakah mereka akan gadai kasih sayang saya
dan membeli kasih sayang yg lebih baik?
Pernahkah saya menjadi yang terbaik untuk mereka?
Pernahkah?

Jangan banjir dulu....

Kelmarin hujan,Hari ni hujan.
Esuk mungkin hujan lagi.
Dah nama pun musim tengkujuh
Hujan itu rahmat. Alhamdullilah,Syukur.
Saya cuma berdoa agar segala yang di rancang tidak tergendala dek hujan.
Kata orang, lautan api ku renangi demi cinta, ini kan air hujan..
Paling2 basah kuyup saja.
Agak2 kalu banjir, sanggup tak pengantin berenang ke masjid untuk akad nikah nanti?
Jangan lah banjir harap nya..
Tak lawa lah akad nikah pakai 'swimming gear'
Nasib baik tak de oxigen tank atas belakang mcm scuba tu.
Nak juga ingatkan sedara2 yg exited nak melaram di hari tu nanti jangan la pakai Italian silk.
Yang stail dry cleaning, tok sah pakai di musim ni..
Saya dah kena dah...Serik.
Rosak terus corak kain tu.
Ada orang cadangkan pakai baju hujan jer..
Yer tak yer...

Monday, December 6, 2010

Layan otak jap..

Dua tiga hari ni hujan saja.
Saya banyak urusan, sibuk mengalahkan menteri.
Nak menerima menantu baru lah katakan...
Hujan pun saya redah juga, basah pun basah lah.
Ikutkan senarai benda perlu buat, berjela dalam kepala ni.
Tak cukup jari rasanya..
Tak cukup langkah nak hayun.
Ada saja itu ini nak dibereskan sebelum tiba hari nya.
Penat?
Memang lah penat.
Kos?
Jangan cerita lah..Mana ada benda free kat dunia ni.
Macam ni lah penat nya mak bapak kita masa kita nak kawin dulu kan.
Dah jadi mak bapak ni baru kita tau.
Anak punya pasal, kita org tua berkorban segalanya.
Yang nak kawin nya dia, yang sibuk nya kita..Adoiii.
Kita bukan apa, nak berikan yg terbaik untuk anak menantu kita, semampu kita.
Yang di luar kemampuan tu kita tak mimpi pun untuk adakan.
Bersyukur dan redha seadanya.
Terfikir pulak, sibuk2 nak terima menantu ni..
Tahun depan ada potensi terima pangkat dato' ke?
Alah kalau datuk tu untuk hubby jer.
Kita ni bukan datin pun, nenek ada lah.
Nenek pun nenek lah, janji happy.
Gembiranya hati kita bila
Anak2 mendato'kan bapa sendiri.
( Sebenarnya coming soon dah..InsyaAllah.)

Sunday, December 5, 2010

Berehat rehat makan angin di sini..

Saya ke Bank tadi.
Dapat nombor 2107
Nombor yg terpampang kat screen tu 2087
Kerusi semua berpenghuni.
Yang berdiri pun ramai.
Di luar hujan lebat.
Bersusun kereta yg parking.
Yang sabar menanti tempat kosong pun banyak juga.
Saya tengok jam, ish..lambat lagi ke nih?
bukan saya sorang tengok jam.
Orang lain tengok jam juga..merungut secukup rasa.
Kaunter ada 5.
Satu kunter saja yang beroperasi untuk selesaikan urusan sewaktu dengan saya ni.
Orang sebelah saya bertanya kenapa hanya satu kaunter saja yang beroperasi..
Mana lah saya tau Cik Kak oi..
Kita tunggu saja lah..
Baru sejam Kak, belum sehari lagi.
Kita memang tak de kerja lain pun, itu buang masa kat bank ni.
Agaknya mereka nak kita relax, makan angin kat sini kot,
Sabar. Mesti sabar kerana sabar itu separuh dari iman.
Kalau awak rasa kura kura berjalan lambat,
awak belum cuba perkhidmatan bank ni lagi.
Sepatutnya harimau laju dan gagah..Aummm.
Tapi hari ni sejuk, harimau ngantuk.

Saturday, December 4, 2010

K.I.V.

Ada ayam kampung.
10 ekur..Kecik2 jer.
Nak masak apa ye...?
Ok, masak gulai lah.
Dah gulai ayam kampung tu sedap gak buat nasi dagang.
So here comes nasi dagang.
Kalau ada nasi dagang mesti ada masak mrah daging atau kerutup daging.
Ok, ok, buat kerutup daging batang pinang.
Dah tu tak kan tak de lauk ikan?
Ikan Aya cominggggg....
Telor rebus?
Acar Rampai...
Yer lah, yerlahhh..Kata nak diet tapi godaan menu permintaan ahli keluarga ni buat keimanan saya goyah......
Lain tahun lah diet........KIV

Thursday, December 2, 2010

Nasib baik budak tu tak apa2..


Tu lahhh..
Dah tau jalan sibuk, hati hati lah.
Time budak sekolah keluar ni bahaya tau.
Tau lah awak tu berkereta mewah.
Tapi malang tak mengira siapa.
Cian budak yang bermotor tu.
Entah anak sapa, baru sudah menduduki kertas SPM.
Dia dah di jalan yang betul.
Tiba tiba kerata awak tu yang langgar motor dia.
Terjatuh dia..Rosak motor dia.
Luka jugak sikit..itu yang ketara.
Saya papah dia, bawa masuk ke bawah porch saya tu.
Dia terketar ketar..terkejut tak habis lagi.
Yer lah, saya pun ada anak, buat la situasi yang sama kena pada anak2 saya.
Kesian.
Jalan dah jem..mujur ada polis trafik berdekatan, cepat2 redakan keadaan.
Yang awak tu duk dalam kereta tak keluar2, tak ke rasa bersalah?
Aduhhh...
Bila polis hampiri baru awak turun yer..berjemput gitu.
Kelas betul lah awak ni.
Cuba lah mintak maaf kat budak tu..
Budak tu diam jer..tak maki awak pun.
Dengan sopan dia tanya awak kenapa langgar dia?
Soalan spontan budak yg confius..
Awak pun saya tengok takut jugak..
Sekurang kurangnya awak akur yg awak bersalah.
Itu saya puji..
Kereta awak tak rosak, maklum lah kereta dot dot dot
Anak awak ke dalam kereta tu?
Bertuah anak awak tak payah tunggang motor ke sekolah kan.
Agaknya kalau tumpangkan budak ni ke klinik boleh tak?
Takut kotor kereta yer?
Hmm...Tak tau nak cakap apa lagi lah.

(Tak pasal2 saya mendidih ni naper?)

Menjawap soalan awak.."Ya, saya baik2 saja."

Kehidupan semasa.
Itu yang paling utama.
Saya harus ketepikan kehidupan semalam.
Kenangan dan sejarah, suka dan duka.
Semua tu tak se penting apa yang akan saya jalani hari ini.
Selagi belum kiamat, esuk pasti datang.
Selagi ada nyawa, bertemu lah esuk.
Jadi saya kena pastikan hari ini saya buat yg terbaik.
Melangkah ke depan bukan undur ke belakang.
Biarlah apa kata orang lain.
Saya tidak mau stress.
(Stress hanya terjadi bila kita terlalu fikirkan anggapan orang lain)
Bahagia saya tak sama dengan bahagia orang lain.
Masing2 tafsiran.
Maka hari ini walau pun hujan dan redup..
Saya bersyukur, sejuk dan damai..
Saya terlindung dari basah di bawah atap lama ini.
Dinding retak ini melindungi saya daripada kesejukan.
Lantai berdebu ini tidak tinggi rendah, saya tidak akan rebah.
Mereka yg dikeliling saya tidak sempurna, byk kekurangan.
Tapi mereka lah yang menerima saya seadanya.
Biarlah, apa jua takdir yg telah ditentukan untuk saya tetap saya terima.
Ya saya bahagia dan baik2 saja..Syukur Alhamdullilah.


,

Wednesday, December 1, 2010

Bukan McD saja boleh home delivery...

Sarah datang hari ni.
Sapa nak rebonding rambut boleh la hulur kepala kat Sarah.
Sarah mmg expert bab rebonding nih.
Tak yah pergi kedai dah.
Tak yah kuar duit untuk parking dan redah jalan yg jem.
Senang.Convenient.
Cakap aje kat Sarah ni..
Anytime.
Jangan time Sarah tidor dah.
Bagus la Sarah ni.
Dari duk buang masa musim2 cuti ni baik lah buat part time gini.
Berfaedah dan dapat jugak duit poket.
Bumi Allah ni rezeki di mana2..rajin atau malas jer.
Sarah ajak akak cuba jugak..Tak yah la Sarah.
Cukup Anis aje.
Dah uban2 ni tak perlu rebonding..
Inaikan rambut boleh?
Perlu ke???
Tak payahhhhhhhhhh.

The Wedding bells are going to ring soonnnnn...


Is going to be a stressful day today.
I am starting to feel the panic in me.
So many things to be done.
So many this and that.
So many small matters that can transform to be huge later if unattended.
The only thing that is lacking is time and of course 'ongkos'
Its not easy to handle one big occasion like this.
Trying to fullfill every needs
Trying to pleased everyone.
Trying to make my love ones happy.
Most of all trying to be and do what parents should be and should do.
Well well well....
God will make sure that everything will be alright.
God always does.
I am sure of that.
InsyaAllah.

Tuesday, November 30, 2010

Dia Sudah Datang


Qasih.
Itu nama dia.
Selamat menjadi ahli keluarga yang termuda setakat hari ni.
Datang bersama limpahan kasih sayang.
Tahniah si Ibu dan si Daddy
Si Kak Long bertambah anak sedara sorang lagi.
Ke berapa nih..52?
53 lah.

(Makdik dan Boy, Congratulations. )

Monday, November 29, 2010

Pulak.

Allergic lagi..
Muka gatal2..merah menyala.
Tak cukup jari nak garu rasanya.
Dari kelmarin lagi
Bermula dengan sakit kepala.
Macam biasa lah saya alah pada habuk.
Agaknya tempat saya lawati tu byk habuk dan debu.
Hari ni byk yang nak saya buat.
Nak keluar jumpa orang pun segan.
Muka bertompok2..
Mata membengkak.
Kalau makan ubat, tidor seharian lah jawapnya.
Nak buat macamana nih,
sedangkan banyak urusan harus di selesaikan.
Tak kena masa betul lah allergic ni menyerang.

Sunday, November 28, 2010

Hantu kasut senyum panjang...

Tq Tq Tq
Like it, like it like it.
Yang merah tu so comfortable.
Yang grey tu just perfect, my style.
Ada orang faham jiwa.
Tengah saya frust tak dapat beli kasut baru.
Ada yang prihatin.
Bukan sepasang tapi dua sekali.
Did I tell u that I am one lucky gal?
Hehehehe...Alhamdullilah.
Tuah manusia sapa yang tau.
Anyway, Thank You CikNa.
All the way from London.
Hantu kasut happy hari ni.........

Dreams are a waste of time...

I have a dream.
This dream will never come true.
Never.
It will forever stay as a dream.
Life goes on...
Make the best of what is here,
No regrets.
Really?
Try not to live with regrets.
Trying, trying...

Saturday, November 27, 2010

Spy menyepai

Marin hubby saya marah2..
Tapi saya tergelak giler.
Ada ke patut..
Niat nak jadi spy..Saya yang nak, hubby paksarela setuju.
Saya cuma nak kenal kat mana lah dia ni tinggal.
Maklum lah bakal menjadi ahli keluarga.
Ingin tahu.
Bersusah payah saya cari rumah dia.
Bukan dekat, jauh.. Dan tempat yg tak pernah saya sampai sebelum ni.
Nasib saya baik kerana saya jumpa juga kawasan perumahan tempat dia tinggal tu.
Lega. Kawasan kejiranan yang tenang dan damai.
"Jangan pergi rapat sgt, nanti apa kata dia kalau dia perasan kehadiran kita nanti"
Pesan hubby saya.
Ok Boss, kita pusing balik.
Lorong tu rupanya jln mati.
Kena u turn.
No problem kita pusing kat depan rumah orang jer.
Opssss...!!
Kantoi?
Ini lah rumah yang saya sedang cari .
Nak buat camna lagi..
Hehehe...Assalamualaikum tuan rumah....
(Hubby saya macam nak telan saya dahhhhhh.)

Saya tak nak lah jadi spy, jadi cikgu lebih sesuai kot.

Friday, November 26, 2010

Wednesday, November 24, 2010

Coming Soon...Blue for boy.

Bertenang...Bertenang..
Bukan macam yang awak sangka tu.

Apalah awak ni,
saya kan dah terlebih had umur,
mana lah nak timang cahaya mata lagi.

Semua ni untuk dia,
yang bakal hadir dalam kehidupan saya,
bakal menjadi ahli keluarga saya juga,

InsyaAllah.
Dia bakal cucu saya.

Saya bakal bergelar nenek.
Best jugak kann...

Nenek Rock!

Tuesday, November 23, 2010

Kejadian aneh hari ni..


Keluar dari rumah lepas zohor.
Sesana kesini..beli itu, beli ini.
Yang wajib beli, dah di beli
Yang sunat pun beli jugak.
Shopping sakan.
Tapi ada ke patut saya tak beli kasut?
Tak beli kasut?
Ulang suara,
Tak beli kasut?

Aneh bin Ajaib.
Tak patut.
Tak patut.
Tak patut!!!

Monday, November 22, 2010

Supir sukarela...

Kita nak ke Ampang lah.
Jenguk rumah yang sah berhabuk.
Dah 5 bulan tak tengok rumah kita tu.
Pagi2 lagi kita dah bertolak dari KB.
Memang suka drive masa tu
Aman..Sejuk..Tenang.
Anis tidor kat seat belakang.
Lembaga penapis/wakil Pegawai JPJ duk kat depan, kejap lagi berdengkur jugak lah.
Tepat jam 9 pagi saya berada di Pekan Gua Musang.
Tiba2 terasa nak ubah destinasi bila tgok sign board Cameron Highland.
Pergi aje lah..bukan jauh mana pun.
Anis pun dah berapa kali ajak pergi beli strawberry.
Ini kelebihan jadi pilot sendiri.
Suka hati pilot lah nak mendarat kat mana pun.
Lembaga penapis pun dah berdengkur.
Maka kami singgah lah sekejap di Pasar dekat EQ/Brinchang tu.
Beli apa apa yang patut..Makan apa2 yg patut.
Kami turun ikut Tapah dan singgah lagi kat R&R Tapah.
Bukan kereta jer nak di isi minyak, drebar pun kena isi minyak jugak.
Hmmm...best, 'Ice-cream BrowniesBaskin Robins' lagi.
Pukul 3 kami sampai di Kediaman kami di Ampang.
Alhamdullilah..........penat dan kenyang.
Drebar yang kenyang, penumpang sapa suruh tido???
(Drebar sambil memandu sempat jugak habiskan strawberries, Cendawan goreng, Ubi keledek, Sandwiches, coklat dan minuman tok sah cerita lah byk nyer)

Saman ekor saya..mana lah saya ada ekor??

Saya 'the person behind the steering' hari ni.
Bukan tak biasa, selalu pun macam ni.
Cuma hari ni saya nak ubah stail memandu.
Hari ni saya nak jadi pemandu berhemah.
Selalu pun berhemah jugak, hari ni extra berhemah.
Yer lah, setiap kali kena saman kes speeding, bukan saya yg bayar pun.
Saya tahu tekan pedal minyak jer..
Bukan laju mana pun..paling2 40kmh..60kmh..
Ops! itu belum tambah 100..
Boss dah sound dah, jangan pandu laju2..saman ekor ada berlambak belum di bayar.
Nak bayar roadtax pun kena langsaikan saman tu dulu.
Tak banyak mana, rm2,000 lebih sikit jer.
Jangan sampai potong elaun saya dah lah.
Sorry boss, tak sengaja.
Ampun.
Janji tak buat lagi.

Sunday, November 21, 2010

DO RE MI.....Tak serupa nadanya.

Kakak nak makan cupcakes.
Anis nak makan jugak.
Iffah tak kisah.

Kakak keluar beli bahan buat cupcakes
Anis ikut sama..
Iffah buat derk jer..

Kakak berpeluh peluh di dapur.
Anis tumpang menyibuk
Iffah tgok TV

Kakak hias cupcakes cantik2
Anis cuba bakat jugak
Iffah sekali2 tgok dari jauh.

Dah boleh di makan....
Cuba teka siapa yang tak sabar2 nak makan?

Saturday, November 20, 2010

Selongkar Album lama.

Zaman persekolahan.
Masih remaja..Usia manis 17.
Segalanya masih manis.
Saya,Yatie.Tg Izzati, Rozie dan Noraini.
Kawan rapat dari dulu.
Hidup begitu tenang di ketika itu.
Hati belum pernah di lukai.
Jiwa belum merasa pahit getir kecewa.
Kalau luka pun sekadar berkecik hati dengan teman sealiran.
Tidak sampai berdendam.
Ada rahsia, sama2 kongsi sama2 cuba sembunyi.
Ada tangisan pun sekadar tangisan anak2 yang perlukan perhatian dari yg bergelar kawan.
Bukan airmata duka nestapa.
Bukan retak hati..
Itulah saya di waktu itu.
Bahagia begitu.
Nak kembali begitu.
Boleh kah undurkan masa ?

Kenangan yang kita sulam bersama

Ann.
Ann..nama yang sentiasa ada di dalam hati saya.
Kelmarin Ann kunjungi kediaman saya.
Happy sungguh..dah lama tak jumpa.
Mengimbau kenangan lalu bersama Ann..Indah sungguh waktu itu.
Dulu...Masih kah Ann ingat,
Sehari lepas sambutan krismas kita tunggu depan kedai 'Debenhams' yg belum bukak untuk shopping sempena 'Boxing Day'?Kita turun dari rumah lepas subuh lagi..redah kesejukan musim salji pun rela, semangat bershopping.Setiap Ahad ni lah kerja kita..Ke 'Car Boot Sale' sekitar London..entah apa2 yang kita beli, tau2 penuh kereta. Ingat lagi makanan kegemaran kita untuk hilangkan kesejukan? Jacket potatoes with lots of toppings..Time tu kurus, tak per makan apa punn..La ni pun tak perrr..Aduyaiii...
Ingat lagi road tour kita menjelajah England? Seronok walau penat melayan kerenah anak2 yang masih kecil masa tu. Photo ni di ambil masa kita berhenti makan di tepi kawasan kampung di Wales. Bersama kita Ani yang tinggal di Aberystwyth dan anak nya kak Long. Pija dan Kimi ada dalam photo ni.Ni anak2 kita masa kita di Aston Villa..Budak2 ni yang sibuk nak ke Aston Villa.Kesian pija, dia sorang girl yg ada masa tu kena ikut jer kehendak yg majoriti.Lepas tu kita ke Manchester, malam2 buta pun masuk stadium kan..lawak betul!Cepatnya masa berlalu..hari ni budak2 dlm photo ni 2 dah bergelar doktor, 2 jurutera,dua masih belajar di luar negara dan sorang tu baru nak mula mendaftar di pusat pengajian tinggi.Kita pun dah tua kan Ann.
.Ini sewaktu kita mengerjakan umrah bersama anak anak..Itu Kimi lah yg nampak kepala tu..Ingat lagi mcmmana payah nya bawak anak2 kecik mengerjakan umrah ni..macam2 kerenah.
Photo Dato' Dr Azmi pun ada ni.Kat mana ni? rasa2 kat Cardiff..Terima kasih lah Dr dan Ann kerana mengunjungi kami dan masih kekal 'Low Profile'.Sikit tak sombong walau kedudukan kita jauh, sejauh langit dgn bumi.Alhamdullilah, Syukur kerana mempermudahkan urusan kami baru baru ni..
Betul kata perpatah, kawan ketawa senang di cari tapi kawan menangis ni tak semua orang bertuah macam saya dapat mengenali mereka..
THANK YOU FOR THE FRIENDSHIP.

Thursday, November 18, 2010

Kerana mulut, gulai hangit...

Hari Raya Haji ke, Raya Puasa ke, ini lah masa kami berkumpul.
Semalam sewaktu sibuk2 bersama kaun sejenis kat dapur, sempat jugak kami bergosip.
Biasa lah, tak sah kalau jumpa jarang2 sekali tak discuss isu semasa ni.
Time berkumpul gini lah berita jam 8 kat TV pun tak sepenting berita yang kami kongsi.
Kira semua orang ada saja berita panas dan terbaru.
Adik saya yang memang wartawan kampung dari kecik lagi ni buka tajuk baru.
"Akak tau tak, kawan akak Si *** tu buat hal.."
Hmmm...Dah mula dah, ayat pertama dia tu buat ahli mesyuarat tingkap yang duduk jauh sikit mula mengesot dan hulur telinga juga..
"Kesian isteri dia tau..anak nak periksa SPM ni, demi anak dia diamkan diri, sabar walau dah tengok dengan mata sendiri..."
Ulas yang sorang lagi. Tukang tambah cerita supaya lagi berperisa pun ramai jugak nih.
Makcik Kiah yang sedang kacau gulai kat hujung sana pun dah tinggalkan gulai, dtg join jugak.
Hati2 Makcik Kiah, meruap gulai tu...
Dah...Dah! Biarlah, Tuhan hanya menduga orang yang kuat dan sabar menghadapi dugaan dari Dia. Kita doakan dia tabah dan Tuhan tahu apa yang terbaik untuk dia.
Laaaa....Dah hangit dah daging masak merah tu..Berkerak dahhh...
Kannnn? Cerita Si*** belum tentu betul atau tidak nya, belum di sahkan..
Yang sah nya kita semua makan lauk hangit hari ni........Padan muka kita!

Wednesday, November 17, 2010

Ciannnnnnnnnnnnnn Sang lembu ke cian kat kita?

Dah asah pisau?
Dah tajamkan kapak, parang, golok dan apa2 yang patut?
Berbahagialah kau wahai lembu kerbau yang bakal di korbankannn..
Terus boleh masuk syurga.
Kita ni macam mana?
'Berkorban apa saja' kata P Ramlee.
Harta, nyawa, perasaan..
Segala macam korban.
Tapi bukan jaminan ke syurga.
Hari ni wahai lembu2 yang menanti saat merasai pisau di leher,
Berbahagialah...Syurga menanti kamu.
Hari ni kamu semua lebih bertuah dari saya..

Tuesday, November 16, 2010

Nak cuba tak?

Risau sungguh lah.
Bukan lembu kerbau jer yang risau.
Nak raya korban ni saya memang tak senang duduk.
Apa tak nya, esuk mewah lah lauk pauk berunsur daging.
Kalau yang tak de penyakit tu, tak per jugak.
Di sekeliling saya ni ramai yang dah ada lesen darah tinggi dan penyakit jantung.
Boleh ke dia orang tahan nafsu makan nanti?
Mampu ke dia orang kata 'tak nak' bila berdepan dengan berbagai pilihan hidangan?
Saya pulak yang memang suka makan daging ni walau tak ada penyakit tapi seharusnya bawak bertenang...Ajar hati supaya bersederhana bila makan nanti...Boleh ke?
Mari lah kita cuba untuk tidak makan daging banyak sangat esuk ok.
Kita jangan tunggu orang bakar daging tu, kita duk jauh2.
Kita jgn letak sup tulang didepan pinggan kita, kita letak sambal dan acar saja.
Kita jangan ratah hati lembu sambil2 mengoreng dengan halia atau lada hitam.
Kita tok sah simpan kerutup daging campur lemak untuk dimakan buat kali ke dua.
Boleh ke ni awakkkk...?

Monday, November 15, 2010

Pening kepala Mummy.

Semua dah ada, pulang bercuti untuk sambut raya.
Bilik semua penuh berpenghuni.
Ada yang terpaksa landing depan TV di ruang keluarga.
Nak fokus kat cerita di TV pun payah, kuasa di Sipemegang remote.
Sipemegang remote asyik bertukar takhta.Ramai yg minat nak jadi raja.
Mencetuskan perang..Bising.
Hang Tuah belum tentu bertuah kalau berebut remote dgn anak2 saya ni.
Itu baru pasal TV, belum pasal lain lagi..
Mug berisi semut lemas menghiasi meja, bekas makanan separuh penuh, tin minuman bergas yg tunggang langgang, speks, Hset, jam tangan mengambil tempat di setiap ruang kosong di atas meja konsul depan TV tu...
Tak cukup atas meja, bawah meja pun ada kulit kacang bertaburan.
Macam macam ada, ngalahkan Astro ni.
Kusyen dan bantal bergelimpangan...
Makluk Tuhan sama bergelimpangan jugak.
Masa magrib paling jem di bilik air.
Masa tu lah saya bertukar watak menjadi Hitler.
Kuasa Veto...
Bila ramai begini banyak perlu di buat.
Singki kat dapur tu sentiasa penuh.
Pingan mangkuk tak sempat kering di rak.
Dapur tercunggap cungap.
Pakaian di ampaian jugak tak sempat puas berjemur panas, dah kena angkat.
Banyak yg menanti giliran untuk di jemur.
Bibik kerja lebih masa.
Cian bibik saya.
Saya kadang2 heran jugak...
Keluarga orang lain tenang saja..tak macam ni.
Keluarga saya jauh dari keluarga mithali..
Tapi apa apa pun,
Mereka saja lah yang saya ada.
Anak2 adalah harta saya.
Tanpa mereka saya papa kedana.

Saturday, November 13, 2010

Projek Mega hari Sabtu.

Setiap kali masuk bilik stor ni saya rasa lemas.
Nak cari barang pun mustahil.
Apa saja lah yang bibik saya simpan di sini..
Silap hari bulan dengan bibik2 sekali boleh tertimbus nih.
Mula mula saya keluarkan semua benda dari stor.
Tak sangka yer, byk nya kenangan yang disimpan'
Dalam gua Ali Baba Bujang Lapuk pun tak sebanyak ni.
Setiap barang adalah jejak pengalaman..
Nak buang rasa sayang, mana tau satu hari nak pulak.
Baik jgn fikir banyak..kunci minda sentimental saya tu.
Kalau sedekahkan dapat jugak pahala.
On your mark...get set, go!
Ni lah harta karun yang nak di buang.
Pakaian yang masih eluk tu nak di sedekahkan saja.
Buku2 lama bibik saya nak jual..Suka hati kau lah bik.
Banyak juga perkakas dapur,pinggan mangkuk yang bakal diangkut lori sampah.
Dah jodoh mereka dengan saya setakat hari ni kann.

Haaa...kan lebih tenang begini.
Tersusun rapi, lebih bersih dan kemas.
Tapi kan, bila dah penat2 mengemas ni,
yang paling tak best nya bila ada 'Lembaga Penapis' yang tak rasmi.
Siap memantau dan bising lagi kalau beg dia yang dah 20 tahun tak di gunakan di hapus kira.
" Simpan beg/briefcase saya tu, saya nak baiki tali nya yang putus......"
Dah 20 tahun dia ulang ayat ni.
Yer lahh, kita simpan kembali dalam stor beg tu.
Panjang umur, tahun depan kalau saya mengemas stor lagi,
ayat yg sama sah kedengaran lagi.......
U wanna bet????
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...