Tetamu yang sentiasa memeriahkan laman saya..TQ

Friday, March 16, 2018

Mengintai dari jendela hati...belum sampai lagi kah?

Anak anak,
Sekali sekala kamu pulang,
Mengisi ruang kosong di pondok kita
Cubalah untuk merasai kehidupan ku
Kerana di sini ibu tua ini saban hari memikul
senarai kerja perlu buat dan wajib siap.
Mengheret tugasan agar tidak keciciran.
Payah adalah udara yg mengisi dada
Lelah mengejar masa dan waktu.
Tapi sesibuk mana pun seorang ibu,
Tidak pernah lupa untuk rindu kehadiran anak
Biar pun hadir sekejap sekejap.
Anak anak,
Sekali sekala kamu pulang
Mengisi ruang kosong di bangsal kita
Meletakkan kepala di bantal lama kamu
Brrselimutkan rasa selamat di daerah kelahiran
Di sini sarang tempat kamu belajar terbang.
Segalanya sudah terbiasa dan kamu rasa aman.
Selamat dari rutin harian mu.
Di lantai ini kamu menjadi raja masa dan
jari waktu sudah hilang bicara.
Tanpa cuba mengira
Berapa minit kah yg telah kamu luangkan
Untuk bertanya khabar ibu
dan mengikis sarat rindu
Cuba lah,
Tadah telinga dan peduli
Telan saja setiap cerita tanpa menghakimi nya
Kerana ibu tua ini mengumpul setiap jejak
Untuk dikongsi dengan anak anak
Sudah berguni duka dan suka terukir di hati
Himpunan pameran bila anak anak kembali .
Anak anak,
 sekali sekala kamu pulang,
Mengisi ruang kosong di hati ibu
Ringankan lah beban dihati ku
Kurangkan lah resah yg membelenggu
Hulurkan sokongan emosi
Bantu lah dgn tenaga ikhlas mu
Fahami lah hati tua ini
Dekati lah jiwa usang yg kesepian
Yang saban hari berdoa agar kepulangan anak anak,
Meringankan bukan membebankan
Memudahkan bukan memayahkan
Membawa tawa bukan menambah duka.
Mengubati bukan menyakiti
Pulang menghadiahkan ceria buat ku
Dan seperti selalu membawa bagasi berat berisi
kasih sayang cinta anak menantu dan cucu
buat aku seorang ibu.
Aku ini anak, sentiasa menunggu kepulangan kamu,
kamu dan kamu.....
Anak anak,
Walau di sini bukan istana mahligai menyapu awan.
di sini tetap ada dan sentiasa ada ruang
Untuk mu kembali.

(Musim cuti, tak sabar nak berkumpul ramai2 sekali lagi.)






No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...