Tetamu yang sentiasa memeriahkan laman saya..TQ

Saturday, July 31, 2021

Soal hati bahagian 1.

 Hati manusia berubah rubah. Kadang kadang kita tidak pernah terlintas di kepala kita yang kita akan berubah hati. Cerita 'soal hati' ini adalah realiti kehidupan saya. 

Saya dibesarkan di dalam sebuah rumah berpagar tinggi di sebuah bandar. Keluarga saya sebuah keluarga yang disegani dan ayah saya seorang usahawan yang agak dikenali di masa itu. Lain perkataan, saya dibesarkan dalam kemewahan. Kehidupan saya waktu tu berkisar pada kehidupan 'di dalam pagar' sahaja dan saya tidak tau apa yang berlaku 'di luar pagar'. Saya lah Si Bongsu yang sentiasa dapat apa yang saya nak. Degil itu saya.

Saya bertemu jodoh dengan seorang pemuda kampung. Kami mendirikan rumah tangga setelah tamat belajar. Mulanya keluarga saya amat ' skeptikal' tentang keputusan saya untuk berkahwin dengan dia. Mak saya bimbang kerana mak saya tau saya cerewet dan tak pernah merasai susah. Saya pun takut jugak sebenarnya.

Ini lah titik pertama saya mengenali kehidupan di kampung.Setelah berkahwin, saya acap pulang ke kampung suami. Mak mertua saya yang saya panggil Ma' seorang yang sangat sabar. Dia mengajar saya menyantuni jiran tetangga. "Senyum, tak kira kenal atau tidak." kata ma. Mungkin ma tengok saya yang sememangnya wajah masam ni nampak tak mesra alam, terpaksa la dipaksa untuk senyum.

Di tepi rumah ma ada anak sungai. Rumah ma tak ada pagar jadi kanak2 yang nak ke sungai akan melalui depan rumah ma..Riuh. Setiap hari bising bunyi pekik ketawa kanak2 mandi manda. Mulanya saya rasa terganggu tapi lama kelamaan jadi terbiasa. Tidak jauh dari rumah ma ada sawah padi. Cantik sangat bila menguning. Saya tak berani ke sana sebab saya takut pacat dan lintah..Jangan tak percaya kalau saya kata yang saya agak bodoh waktu tu kerana pokok tembakau saya ingatkan pokok kubis..

Suami saya anak sulung, jadi saya yang tak pernah ada adik ni belajar bertolak ansur dengan adik2 ipar yang ramai. Entah kenapa saya rasa seronok pula menjadi kakak. Adik2 ipar lah teman saya dan banyak yang saya belajar dari perbezaan cara hidup kami.

Akhirnya saya rasa saya lebih seronok berada di kampung dari di tempat saya dibesarkan. Saya sukarela minta untuk ditukarkan bertugas di sekolah berdekataan dan mengambil keputusan untuk tinggal bersama mertua. Keluarga saya memang lah terkejut dengan keputusan saya tu tapi mereka tetap menyokong. Bermula lah kehidupan saya sebagai orang kampung. Dari saya tak pandai masak, ma ajar saya masak. Dari pakaian saya yang tidak menutup aurat, ma ajar saya bertudung. Yang paling saya tak lupa ialah ma jahitkan baju kurung buat saya, bukan sepasang tapi sentiasa ada baju baru untuk di pakai ke tempat kerja. Terima kasih ma kerana bersabar dengan peel perangai saya.

Arwah abah (bapa mertua) saya seorang yang pendiam dan tegas. Dalam tegas nya ada kasih sayang yang tidak terucap di bibir. Abah akan bawa balik ikan keli dari bendang kegemaran saya walau pun abah tak suka ikan tu dan tak pernah sentuh pun sebelum ni. Abah juga hari hari hantar saya ke tempat kerja kerana suami saya tidak ada bersama saya di kampung. Waktu itu suami saya menyambung pengajian dia di UM. Ya betul lah. Saya bersendirian hidup di dalam keluarga suami. Pelik? Takpun kerana kasih sayang mereka buat saya selesa.

Sepuluh tahun saya di kampung suami. Kehidupan di kampung itu terhenti bila saya berpindah ke London, UK untuk menemani suami yang menyambung belajar di sana pula. Kenangan di kampung itu kekal terpahat dalam diari kenangan manis saya. Kenalan2 saya masih lagi berhubungan dengan saya sampai sekarang. Kampung itu sudah banyak berubah namun senyuman ma saya masih semanis dulu. 

Begitulah cerita tentang kelmarin yang indah. Bersambung ke siri ke 2 pula......

2 comments:

Kakcik Seroja said...

Seronok nak baca sambung an kisah ini. Saya baca sambil bayangkan suasana yang di lalui. Seronoknya...

Anonymous said...

Seronok bc kisah ni..part 2 please aunty 😍

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...